Mutawwif Rizam Zainal
Perunding jualan pakej ibadah umrah dan ziarah ke luar negara serta mutawwif umrah dan penceramah umrah kaedah SALAK
WAKIL JUALAN JOHOR, TRIPFEZ TRAVEL & TOUR SDN BHD (1035532-D) (KPK/LN:7142)
24/12/2025
"Dosa Ini Lebih Halus Daripada Tapak Kaki Semut Hitam"
Kita selalu rasa takut dengan Dajjal.
Kita doa hari-hari minta jauh daripada fitnah akhir zaman itu. Sebab kita tahu Dajjal itu sangat dasyat, dia boleh memesongkan iman kita sekelip mata.
Tapi, tahukah kita bahawa ada satu benda yang Nabi Muhammad SAW lebih takutkan menimpa umatnya berbanding Dajjal?
Benda itu mungkin ada dalam hati kita sekarang tanpa kita sedar.
Ia adalah Riya' atau menunjuk-nunjuk dalam ibadah.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a., Rasulullah SAW keluar menemui para sahabat lalu bersabda:
"Mahukah kalian aku khabarkan tentang sesuatu yang lebih aku takutkan menimpa kalian daripada Al-Masih Ad-Dajjal?"
Para sahabat menjawab: "Tentu wahai Rasulullah."
Baginda bersabda: "Iaitu Syirik yang tersembunyi (Syirik Khafi). Seseorang bangun mengerjakan solat, lalu dia memperelokkan solatnya kerana dia melihat ada orang lain sedang memerhatikannya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4204. Status: Hasan)
Kenapa Nabi panggil ia "Syirik Tersembunyi"? Dan kenapa ia lebih bahaya dari Dajjal?
Sebab Dajjal itu jelas kafirnya. Tertulis di dahinya perkataan "Kafir". Orang beriman boleh nampak dan lari.
Tapi Riya' ini sangat samar.
Sahabat Nabi yang alim, Ibnu Abbas r.a., pernah memberikan satu perumpamaan yang sangat teliti tentang betapa halusnya dosa ini.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas berkata:
"Syirik (Riya') itu lebih tersembunyi daripada tapak kaki semut hitam, yang melata di atas batu hitam, di dalam kegelapan malam."
Bayangkan betapa susahnya nak kesan tapak kaki semut dalam keadaan gelap macam tu.
Begitulah halusnya Riya'.
Kadang-kadang kita rasa kita ikhlas. Kita solat lama-lama. Kita sedekah banyak-banyak.
Tapi jauh di sudut hati, ada satu perasaan halus: "Harap ada orang nampak aku buat ni." atau "Harap orang puji aku pemurah."
Sedikit saja lintasan hati itu, ia sudah cukup untuk menghanguskan pahala amalan kita sampai jadi debu.
Kita penat beribadah, tapi di sisi Allah nilainya kosong. Kosong sebab kita buat untuk manusia, tidak buat untuk Allah.
Jadi kawan-kawan, sentiasalah cek hati sendiri.
Sebelum angkat takbir, tanya hati: "Aku solat ni sebab Allah atau sebab mak mertua ada di belakang?"
Betulkan niat setiap masa. Biarlah amalan kita biasa-biasa di mata manusia, asalkan ia "High Class" di mata Tuhan.
Wallahu a'lam.
___
Imam al-Syafi‘i Rahimahullah
Al-Rabi‘ bin Sulaiman meriwayatkan: Aku mendengar al-Syafi‘i berkata: Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, sebelum aku mencapai usia dewasa. Baginda berkata kepadaku: Wahai anak muda. Aku menjawab, Labbaik, wahai Rasulullah. Baginda bertanya: Dari golongan manakah engkau? Aku menjawab: Dari golonganmu, wahai Rasulullah. Baginda berkata: Dekatkan dirimu kepadaku: Maka aku pun mendekat, lalu Baginda mengambil sedikit daripada air liurnya. Aku membuka mulutku, dan Baginda menyapukan air liurnya pada lidahku, mulutku, dan bibirku, sambil berkata: Teruskanlah, semoga Allah memberkatimu. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, oleh al-Baihaqi, 1/98)
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the business
Telephone
Address
81200
Johor Bahru
81200