Cafe Novel

Cafe Novel

Share

19/11/2025

TEASER 5 BUKAN HAK MILIK

Aza picit dahi. Saat ini kepalanya seolah-olah seperti sedang berpusing. Beberapa hari lepas, dia bergaduh dengan Khai dan bekas tunang Kak Alisa.
Masalah yang bertimpa membuatkan dia seakan-akan hilang arah. Halnya dengan Khai masih belum selesai dan kini timbul p**a masalah lain.
“Aza! Buka pagar ni!”
Dang, dang!
Tangan yang masih memicit kepala terus kaku. Alahai, apa lagi yang dikehendaki oleh Khai. Bukankah dia sudah meminta masa dan ruang untuk diri sendiri?
Sudah diberitahu pada lelaki itu yang dia mahu bersendirian tanpa gangguan. Sementelah, Rina juga masih lagi ditahan di hospital.
“Aza! Saya nak jumpa awak. Please!”
Ah, apa lagi yang mahu dikatakan lelaki itu? Padanya dia menyendiri kerana mahu bersiap untuk memutuskan pertunangan dengan lelaki itu.
“Kau balik!”
Sudahnya, demi tidak mahu mengundang pandangan serong jiran terpaksalah Aza keluar menemui lelaki itu.
“Saya minta maaf Aza. Saya nak kita bincang sekarang. Buka pagar ni.”
Aza tiba-tiba bengang. Khai sudah pun curang di belakangnya tetapi kenapa lelaki ini bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku antara mereka?
“Kau tahu tak apa kau dah buat? Kau tidur dengan kawan akulah, bodoh!” Ik*t hati mahu saja dia tampar Khai tetapi bimbang jika ada yang memerhati di kiri dan kanan rumahnya.
“Saya minta maaf, Aza. Saya tahu salah sendiri.”
Lembut pengakuan Khai tetapi untuk apa kelembutan itu jika sekadar mahu menutupi salah yang telah dilakukan?
“Pergi mampuslah, Khai! Mujur kita tak kahwin lagi tahu tak?”
“Aza…” Khai cuba menangkap jemarinya di celah pagar namun laju juga dia mengundur. Tidak mahu kulitnya dicemari dengan sesuatu yang menjijikkan.
“Kau boleh tak bercakap tanpa pegang tangan aku? Bodoh betullah!” Sakit hati Aza masih menggunung. Inilah masalah Khai, asal ada peluang s**a sangat menyentuhnya.
“Saya minta satu lagi peluang. Kali ini janji akan ubah sikap.”
Huh!
Dengusan kasarnya terluah.
“Peluang? Kau ingat aku ni bodoh ke, Khai? Tu… anak dalam perut Rina siapa nak tanggungjawab? Bodoh betul!”
Peluang apa lagi yang dimahukan Khai? Dia pun tidaklah sebodoh itu mahu menerima.
“Saya minta maaf. Betul-betul minta maaf pada awak Aza.”
“Mula kau buat benda terk*tuk tu aku dah tak ada hati dengan kau Khai! Lagipun aku nak kita putus tunang!”
“Aza!”
Khai lekas menghalang tangannya ketika cincin di jarinya sudah diberi pada lelaki itu.
“Kau nak apa lagi? Bukti ada di tangan aku sekarang ni. Ke kau nak aku tunjuk semua video dan gambar tu pada keluarga kau?”
Mustahillah Khai berani menunjuk sikap sebenar di hadapan keluarga sendiri. Selama ini pun hanya dirinya sahaja yang dilabel jahat dan tidak sedar diri kerana kononnya mahu menempel kekayaan dan tuah pada lelaki sehebat Khai.
Mula dulu memang dia tidak pernah ambil pusing tetapi setelah mengetahui sikap sebenar Khai, dia dulu-dulu bersyukur. Syukur kerana tidak termasuk ke dalam perangkap lelaki itu.
“Tolong Aza…kali ni saja. Saya minta tolong awak. Jangan putuskan pertunangan kita. Saya janji akan ik*t apa saya permintaan awak!”
Aza mendengus perlahan. Nak kata dia sedih sekarang ini pun tidak juga. Sakit hatinya lebih menguasai diri. Dahlah tidak segan mahu meminta pertolongan darinya. Jangan harap!
“Aku dah cakap tak nak kan? Kau pekak ke?” Geram p**a Aza. Tanpa kata, dia bergegas masuk semula ke dalam rumah. Tak kuasa mahu melayan karenah Khai!

19/11/2025

TEASER 2 BUKAN HAK MILIK

“Khai? Buat apa kat sini?”
Bulat mata Aza melihat sosok tunangnya yang sedang berdiri di tepi katil Rina.
“Aza…” Bagai kelu lidah kala memandangnya, tubuh Khai mengeras. Statik tanpa bergerak.
“Kau dah sampai Aza?” Rina selamba bertanya kepadanya sementara dia masih lagi memandang Khai yang terus terdiam.
“Macam mana Khai boleh datang melawat kau kat sini?” Seingatnya Khai dan Rina tidak kenal satu sama lain. Bertemu pun tidak pernah.
“Oh, aku lupa nak bagitahu kau. Aku kenal Khai masa aku pernah kerja sekejap di kedai Printing bakal suami kau ni tahun lepas.”
Aza ketap gigi. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan seperti ada sesuatu yang disorok keduanya.
“Khai… keluar kejap. Saya nak tanya sesuatu pada awak.”
Melihat sikap bisu Khai membuatkan lebih banyak andaian buruk yang bermain dalam kepalanya saat ini.
“Aza… aku tahu kau tak percaya tapi…”
“Aku tak cakap dengan kau Rina. Aku minta Khai ik*t aku keluar. Susah sangat ke?”
Suaranya tegas namun tetap diperlahankan. Sudahnya, hanya pada saat dia merenung tajam ke arah Khai, lelaki itu terus keluar tanpa berkata apa-apa.
“Awak kenal Rina tapi tak pernah sekalipun awak cakap pada saya?” Tiba di luar, Aza terus hambur pertanyaan. Memang patut dia sangsi kerana sudah berkali-kali dia menunjukkan gambar kawan serumahnya pada Khai sebelum ini. Malah, gambar yang diletak dalam Facebook juga dilihat Khai tetapi tiada langsung komen lelaki itu tentang Rina.
“Saya tak tahu p**a yang awak dengan Khai kenal.” Aza berusaha menenangkan diri sendiri. Patutlah awal pagi tadi Khai ada menghantar mesej bertanya apa aktivitinya pada hari ini.
“Saya dengan Rina memang dah kenal. Start tahun lepas lagi. Saya minta maaf sebab tak beritahu awak pasal tu.”
Khai bersuara lembut. Memang sikap tunangnya seperti ini. Lembut dan penuh perhatian.
“Okey, saya faham bab tu tapi macam mana awak boleh datang melawat dia p**a? Dan awak tak beritahu saya pun yang awak nak datang jenguk dia.” Aza masih bersabar. Seboleh mungkin dia mahu menyimpan amarah.
“Saya tak nak awak salah faham Aza. Saya datang ni pun awak dah syak bukan-bukan pada saya. Lagilah kalau saya beritahu awak yang saya nak datang melawat Rina kat sini.”
Aza ketap gigi. Memanglah dia marah tapi sekurang-kurangnya dia tahu lebih awal. Kenapa perlu menipu seperti ini? Kenapa perlu bertemu secara sembunyi di belakangnya? Atau memang ada sesuatu yang cuba disorok keduanya?
“Saya tak kisahlah kalau awak nak jumpa dia ke apa tapi perlu ke awak datang jumpa dia tanpa pengetahuan saya? Awak datang jumpa dia di belakang saya tau?”
Bengang betul Aza. Saat ini, dia terasa begitu bodoh.
“Kami kawan, Aza…”
“Saya tak percaya. Bak sini telefon awak. Saya nak tengok.”
Sekelip mata telefon di tangan Khai sudah berpindah di tangannya.
“Aza!”
Aza berundur dan segera menyorokkan telefon lelaki itu di dalam beg.

Want your business to be the top-listed Shop in Selangor?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Telephone

Address

Selangor
43000