FTV media
30/11/2025
Pesanan Rasulullah ﷺ : Berhati-hatilah dengan Golongan Yang Mengikut (Makna Zahir) Nas-nas Mutashabihat
Dan Rasulullah ﷺ berpesan kepada isteri Baginda – Saidatina ʿĀʾishah r.anha agar berhati-hati dengan golongan yang gemar mengikut makna zahir ayat mutashabihat dan menjadikannya asas aqidah mereka dengan bersabda:
فَإِذَا رَأَيْتِ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ، فَأُولَئِكَ الَّذِينَ سَمَّى اللهُ فَاحْذَرُوهُمْ
“Apabila engkau melihat orang-orang yang mengikut apa yang Mutashabihat (nas-nas yang samar/ kabur maknanya) daripada al-Qur’an, mereka itulah orang-orang yang dinamakan/ diterangkan oleh Allah (di dalam al-Quran), maka berhati-hatilah dengan mereka.”
(al-Bukhārī (256H), 1999 - Ṣaḥīḥ al-Bukhārī), No. 4574 [Lafaz di atas]; (Muslim (261H), 2006 - al-Jāmiʿ al-Ṣaḥīḥ / Ṣaḥīḥ Muslim), No. 2667
30/11/2025
AKIDAH ASYA’IRAH ADALAH AKIDAH SALAF
1. Imam Abul Hasan al-Asy’ari rhm (260-324H) adalah pengasas mazhab Asya’irah. Beliau bukan mencipta mazhab dan pandangan akidah yang baharu. Imam Asy’ari hanyalah sekadar pelapor, iaitu yang melaporkan kepada kita apa itu mazhab salaf dalam bab akidah. Dengan kata lain, beliau adalah seorang periwayat tentang akidah Salaf.
2. Kalau Imam Asy’ari hanya pelapor atau periwayat akidah salaf, maka benarlah Imam Syafie rhm yang termasuk dalam kategori salaf juga bermazhab Asya’irah. Meskipun Imam Syafie wafat 56 tahun sebelum Imam Asy'ari lahir. Janganlah hanya asyik dengan tarikh lahir dan tarikh wafat Imam Syafie r.a dan Imam Asy’ari rhm sahaja, kajilah juga intipati ajaran Imam Asy’ari, barulah buat kesimpulan.
3. Siapa yang kata Imam Asy’ari hanya sekadar pelapor dan periwayat mazhab para salaf dalam bab akidah? Jawabnya, Imam Tajuddin al-Subki rhm (wafat 771H) dalam Kitab Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra mafhumnya:
“Ketahuilah, bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari tidak mencipta pendapat baharu,
dan tidak juga mengasaskan mazhab baharu. Beliau hanyalah pelapor mazhab-mazhab salaf dalam bab akidah, dan seorang yang mempertahankan pegangan sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ dalam bab akidah”.
4. Ringkasnya, mazhab Asya’irah hanyalah kesinambungan kepada akidah para salaf dan para sahabat, menurut Imam Tajuddin al-Subki. Bukannya mazhab akidah yang baharu, yang berlainan dengan akidah salaf.
5. Kita ambil satu lagi pandangan ulama tentang mazhab Asya’irah iaitu al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi r.a (384-458H). Pengarang Syu’abul Iman, Dalail al-Nubuwwah, Sunan Sughra dan Kubra dan lain-lain.
Kata Imam al-Bayhaqi, Imam Asy’ari rhm tidak melakukan benda baharu dalam agama dan tidak membawa bidaah dalam agama. Sebaliknya beliau hanya sekadar mengambil pandangan-pandangan berkenaan akidah dari para sahabat r.a, para tabi’in dan para imam selepas mereka. Apa yang beliau lakukan, hanyalah membela akidah para salaf ini dengan cara menambahkan huraian dan penjelasan sahaja. Tiada tokok tambah, tiada sebarang pengurangan ke atas akidah para salaf ini.
6. Penegasan ini dicatatkan oleh al-Hafiz Ibn Asakir rhm (w571H) dengan sanadnya dalam Kitab Tabyin Kazib al-Muftari tentang Imam Asy’ari:
“…beliau tidak membuat perkara baharu dalam agama, dan tidak membawa bidaah di dalamnya (agama). Sebaliknya beliau sekadar mengambil kata-kata para sahabat r.a, para tabi’in dan para imam selepas mereka kata-kata yang berkaitan usuluddin (akidah). Lantas beliau membelanya dengan menambah huraian dan penjelasan kepada kata-kata mereka itu”.
7. Hakikat bahawa Imam Asy’ari hanyalah pelapor dan periwayat akidah Salaf inilah yang gagal difahami sesetengah orang. Lalu menyangka Imam Asy’ari membawa ajaran, mazhab dan akidah baharu yang tidak pernah wujud di zaman salaf sebelumnya.
8. Kesimpulan daripada penegasan ulama besar dan muktabar di atas, ajaran akidah yang dibawa oleh Imam Asy’ari rhm adalah ajaran yang diwarisi dari para salaf, iaitu para tabi’in dan para sahabat r.a.
Wallahu a'lam.
Diringkaskan daripada artikel asal Ustaz Shamsul Muda
12/11/2025
Hari ini genap 3 tahun Pak Su Mid meninggalkan kita. Hadiahkan bacaan al-Fatihah dan 3 Qul kepada almarhum ya sahabat-sahabat.
Sedikit manaqib beliau:
Tok Wali Pak Su Mid, Kuala Nerang ( 1926 - 2022 )
Oleh : Tengku Yusuff
Nama sebenar Pak Su Mid ialah Syeikh Haji Abdul Hamid Bin Haji Ismail dan beliau dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah pada tahun 1926. Ayahnya bernama Haji Ismail Bin Jabugis manakala ibunya Selasiah Binti Lebai Yusof.
Allahyarham mempunyai 5 orang adik beradik, 4 diantaranya ialah :
1. Fatimah
2. Mohamad
3. Mad Salleh
4. Haji Abdul Hamid
Keturunan asal Pak Su Mid berasal dari Banjar. Allahyarham mula tinggal di Bukit Tembaga, Kuala Nerang pada tahun 1965 dan beliau berkahwin pada tahun 1973.
Ketika hayatnya, beliau telah menuntut ilmu dari beberapa orang ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin di Ayer Hitam. Dikatakan bahawa beliau juga turut belajar dari seorang wali Allah yang disebut dengan nama Syeikh Abdullah Harun, di Stesen Kereta Api Lama Alor Star, Sungai Korok.
Semasa mudanya beliau bekerja dan berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar pada siang harinya. Manakala pada sebelah malamnya beliau akan menadah ilmu bersama guru-guru beliau. Pak Su juga bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang.
Antara kitab yang sering menjadi rujukan Pak Su Mid adalah:
1) Hilyatul Auliyak
2) Futuhat Makkiyyah Ibn Arabi
3) Khozinatul Asror
Beliau pernah berkata kepada penulis bahawa, beliau cuma membaca kitab kitab yang pengarangnya seorang Wali Allah sahaja.
Amalan utama Pak Su Mid hanya al-Quran dan puasa setiap hari. Setiap kali diminta amalan dan nasihat, maka beliau akan berpesan supaya berdamping dengan al-Quran. Sewaktu keadaannya sihat, Allahyarham telah berpuasa lebih dari 30 tahun.
Kalam Pak Su Mid mempunyai gaya bahasa yang tinggi dan unsur kiasan yang mendalam. Beliau s**a berkias dalam percakapan.
Di antara nasihat atau kata-kata hikmah Pak Su Mid ialah :
1. Pastikan diri sentiasa berwuduk.
2. Bergelut sungguh-sunguh dengan al-Quran. Pegang al-Quran dan kata: Ya Allah, ini kitab Engkau yang aku beramal. Barangsiapa yg beriman kepada Allah, Allah akan memberikannya hidayah.
3. Malam-malam bangun buat tahajud. Menangis atas segala dosa. Ambil air mata tu sapukan satu tubuh badan niat sebagai benteng dari api Neraka.
4. Bila ada Istiqomah, baru malaikat turun. Jangan takut jangan sedih. Depa bawa berita gembira kita jadi ahli Syurga.
5. Nak cekap dalam agama ni kena kuasai ilmu alat.
6. Siapa tak baca al-Quran, dia benci kepada Allah.
7. Semua ilmu ada dalam al-Quran. Semua penyelesaian hidup ada dalam al-Quran.
Syeikh Haji Abdul Hamid telah pergi meninggalkan kita pada 11 November 2022, jam 6 petang dalam usia 96 tahun.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Kajian peribadi dan dari sumber orang ramai seperti Anuar Gaharu dan lain-lain.
Click here to claim your Sponsored Listing.