AKADEMI RAKYAT (People's Academy)
Learning for Everyone with special emphasis for the Poor
AKADEMI RAKYAT:
Menggerak Pendidikan Manusiawi
Pengenalan
Pendidikan merupakan asas kepada kemajuan dan kelangsungan hidup masyarakat bertamadun. Terdapat usaha berterusan sejak dahulu untuk mencari kaedah terbaik dalam penyampaian ilmu dan usaha mendidik masyarakat. Sekolah bukan semata-mata kilang
untuk pendidikan tetapi proses persekolahan adalah proses untuk melahirkan generasi terdidik dan membangun tamadun manusia yang maju. Justeru itu, penyampaian ilmu perlu mencapai pendidikan yang menyeluruh yang akan melahirkan golongan terdidik yang berjasa. Dan, untuk membangun manusia, maka pendidikan itu perlu manusiawi dalam jiwa dan geraknya. Akademi Rakyat adalah cetusan ilham YB Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau di dalam usahanya untuk membantu masyarakat setempat. Akademi Rakyat diinsipirasikan daripada kejayaan Yayasan Anda, institut pendidikan untuk golongan yang kurang berkemampuan yang pernah dipelopori oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa dahulu. Inspirasi ini juga disambut dengan fahaman falsafah pendidikan Rabindranath Tagore yang terkenal sebagai ahli falsafah, budayawan dan pedagogi yang menubuhkan pusat pembelajaran Santinietan dan Sriniketan yang menerokai pendidikan tempatan untuk orang tempatan. Fahaman pendidikan yang manusiawi bukan untuk mencari ilmu dengan kaedah hadam dan hafal sahaja tetapi pendidikan yang sarat dengan jiwa yang dahaga dan cintakan ilmu dan semangat untuk mendapat ilmu demi tanggungjawab menumpahkan kebaktian yang tidak berbelah bahagi kepada masyarakat. Objektif
• menjadi pusat ilmu setempat, yang memberi peluang pendidikan kepada masyarakat umum khususnya yang kurang berkemampuan.
• menjadi pusat ilmu yang menggalak penerokaan kaedah tempatan yang sesuai bagi orang tempatan, bukan semata-mata pusat tuisyen tetapi pusat menelaah dan mengembangkan budaya ilmu
• menjadi pencetus budaya dahagakan ilmu dan cintakan ilmu di kalangan masyarakat.
• mengkhusus kepada masyarakat setempat dengan kaedah
penyampaian ilmu yang mengambil kira sosio-budaya masyarakat tempatan. Visi
Membangun Jiwa, Ilmu dan Akal
Kaedah
Akademi Rakyat bukan setakat penubuhan satu pusat pendidikan tambahan seperti pusat tuisyen tetapi satu pusat pendidikan yang mempunyai objektif khusus untuk mengumpulkan pendidik berjiwa pendidik sebenar bagi mengajar orang-orang tempatan. Akademi Rakyat bermatlamat untuk mengadakan perpustakaan, aktiviti keilmuan melalui kursus-kursus pendek, pendidikan tambahan kepada anak-anak kecil dan golongan dewasa. Matlamat jangka panjang untuk membangun jiwa, ilmu dan akal dipastikan melalui kaedah motivasi di dalam pendidikan. Pendidikan perlu menekankan rohaniah dan elemen penghayatan budaya di dalam penyampaian ilmu sedia ada.